Khamis, 24 Disember 2015

Pengetahuan Pedagogikal Kandungan (PCK)

Shulman (1987) telah memperincikan tujuh kategori pengetahuan  yang menjadi asas kepada kefahaman guru untuk mengajar secara efektif . Shulman turut menghujahkan bahawa PCK ialah pengetahuan yang unik kepada profesion perguruan . Pengetahuan ini membezakan seorang guru daripada seorang pakar bidang pengetahuan yang tidak mengajar dan perbezaan ini dapat dilihat di dalam pernyataan berikut:

‘kebolehan seorang guru untuk mengubah pengetahuan isi kandungan yang dimilikinya kepada bentuk yang sesuai untuk pengajaran serta sesuai dengan kebolehan dan latarbelakang pelajar’ (Shulman 1987)

Ini menunjukkan bahawa kefahaman dan keupayaan guru yang memperolehi PCK bukan sahaja bergantung kepada pengetahuan isi kandungan dan pengetahuan pedagogi tetapi juga bergantung kepada pengetahuan guru berkenaan dengan pedagogi yang berkaitan dengan subjek tertentu untuk pelajar yang khusus. Bagi konteks latihan perguruan pula, ini bermakna program pendidikan guru tidak boleh lagi menghadkan aktiviti berkaitan pedagogi dan penyeliaan bebas daripada konteks. Konteks di sini bermaksud subjek yang diajar atau isi kandungan.

Petikan di atas mencadangkan PCK mengimbasi kefahaman guru tentang isi kandungan subjek untuk tujuan pengajaran . Seperti yang diperkatakan oleh Copper et al . (1996), idea utama yang mendasari konsep PCK ialah guru mengubahsuai isi kandungan untuk tujuan pengajaran. Menurut Grossman et al.(1989), konsep PCK adalah serupa dengan pandangan Dewey di mana guru perlu ‘psychologize’ sesuatu subjek untuk pelajar. Dengan kata lain, guru perlu fikirkan bagaimana hendak membina jambatan di antara kefahaman guru tentang isi kandungan dengan kefahaman pelajar berkenaan isi kandungan yang sama. Untuk membina jambatan ini, menurut Feiman-Nemser dan Buchmann (1986), guru perlu memikir secara pedagogikal di mana guru perlu menimbangkan tentang cara mengajar sesuatu subjek daripada perspektif pelajar, guru sendiri dan isi kandungan subjek tersebut. Berdasarkan perbincangan di atas, PCK adalah sejenis pengetahuan guru yang mencadangkan bahawa pengajaran melibatkan guru mewakili isi kandungan subjek dan perwakilan itu hendaklah berfaedah dan berguna kepada seberapa jauh yang mungkin.

Satu lagi ciri penting PCK ialah ia merupakan pengetahuan mengenai bagaimana hendak mengajar  topik spesifik yang dapat menggalakkan kefahaman konsepsual (Grossman 1990; Fernandez-Balboa et al.1995 dan Coble et al.1996). Menurut Shulman (1986), bagi sesuatu topik , PCK melibatkan (1) analogi, contoh, penerangan dan demontrasi yang efektif, (2) kefahaman tentang aspek-aspek yang membuatkan pembelajaran topik itu senang atau susah , (3) miskonsepsi pelajar tentang topik dan (4) pengetahuan tentang strategi pengajaran yang efektif.

PCK melibatkan pengetahuan konsep dan prosedur bagi sesuatu topik, miskonsepsi yang biasa dialami oleh seseorang pelajar, dan jenis-jenis kefahaman di dalam memahami sesuatu konsep matematik ( Carpenter, T. P. et. Al. 1988 ).  Termasuk dalam PCK juga ialah teknik-teknik penilaian penguasaan kemahiran dan kefahaman konsep pelajar serta strategi pengajaran agar isi pembelajaran dapat dibina dan difahami oleh pelajar secara bermakna ( Wiseman, D. L., Cooner, D. D., Knight, S. L. 1999). Selain daripada itu, pengajaran matematik yang berkesan juga melibatkan kemahiran menyediakan latihan yang berterusan dan pelbagai, menjalankan aktiviti pengayaan dan pemulihan, pengurusan bilik darjah serta menilai bahan dan kurikulum matematik ( Tg. Zawawi 1998 ). Berdasarkan pengubahsuaian daripada huraian yang telah dibuat oleh Magnusson et al. (1998), terdapat lima komponen bagi PCK yang perlu difahami dan dihayati oleh setiap pendidik matematik:

a)      Orientasi Terhadap Pengajaran Matematik

Komponen ini merujuk kepada pengetahuan dan kepercayaan guru tentang tujuan dan matlamat pengajaran matematik untuk sesuatu tahap pembelajaran. Terdapat empat kategori orientasi terhadap pengajaran matematik iaitu a) pendekatan didaktik di mana pengajaran dan pembelajaran melibatkan aktiviti kuliah dan mendengar, b) pendekatan proses di mana pengajaran matematik menumpukan kepada kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis, c) pendekatan penemuan iaitu guru menjadi fasilitator supaya pelajar dapat menemui pengetahuan melalui penyiasatan dan d) pendekatan perubahan konsepsual yang memerlukan guru menyediakan peluang untuk pelajar membina pengetahuan. Menurut Magnusson et al. komponen PCK ini memainkan peranan yang penting di mana komponen ini akan menentukan bagaimana guru akan merancang pengajaran, cara guru mengajar dan cara guru membuat refleksi tentang pengajaran.

b)      Pengetahuan tentang Kurikulum Matematik

Komponen PCK ini melibatkan pengetahuan tentang program dan bahan pengajaran yang berkait dengan pengajaran sesuatu konsep matematik. Guru  perlu membiasakan diri dengan kurikulum, bahan teks, media dan buku kerja. Guru juga perlu mengetahui sesuatu kurikulum secara menegak dan mendatar di mana kefahaman secara menegak merujuk kepada kebiasaan guru tentang topik dan isu yang pelajar akan belajar dan telah belajar . Manakala, kefahaman secara mendatar merujuk kepada keupayaan guru untuk menghubungkan perbincangan sesuatu topik kepada subjek-subjek lain.

c)      Pengetahuan tentang Kefahaman Pelajar

Komponen ini terdiri daripada dua kategori: pengetahuan sedia ada yang diperlukan untuk mempelajari sesuatu topik dan pengetahuan tentang kesukaran serta miskonsepsi pelajar berkenaan terhadap sesuatu konsep matematik.

d)      Pengetahuan  tentang Strategi Pengajaran

Dua kategori bagi komponen PCK ini ialah: pengetahuan tentang strategi pengajaran sesuatu subjek dan pengetahuan tentang strategi pengajaran bagi sesuatu topik. Pengetahuan strategi pengajaran sesuatu subjek mewakili pendekatan pengajaran matematik secara umum ( contohnya: pembelajaran koperatif dan kolabratif, penyelesaian masalah, rekreasi dan seumpamanya ) . Manakala, strategi pengajaran bagi sesuatu topik merujuk kepada strategi atau kaedah spesifik yang dapat membantu pelajar memahami konsep matematik yang spesifik. Strategi yang spesifik ini merangkumi induktif, deduktif, analogi, simulasi, dan kerja praktik yang efektif (perincian dalam Tg. Zawawi 1998).

e)      Pengetahuan tentang Kaedah Penilaian

Komponen ini merujuk kepada pengetahuan guru matematik tentang kaedah menilai dalam pendidikan matematik seperti teknik atau instrumen yang dapat menilai tahap penguasaan kemahiran dan kefahaman konsep. Guru juga perlu tahu kebaikan dan keburukan apabila menggunakan sesuatu kaedah penilaian tertentu. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan