Khamis, 24 Disember 2015

Pentaksiran Tradisional dan Pentaksiran Alternatif

Pentaksiran Traditional

Menurut (Bailey, 1998), pentaksiran tradisional adalah secara tidak langsung, tidak autentik, one-shot, speed-based, dan rujukan norma. Manakala (Law & Eckes, 1995) menggariskan isu yang sama dan menyatakan bahawa pentaksiran tradisional adalah ujian-peristiwa tunggal (single-occasion tests) iaitu hanya mengukur apa yang pelajar boleh lakukan pada suatu masa tertentu. Walau bagaimanapun, skor ujian tidak dapat menunjukkan perkembangan pelajar tersebut. Selain itu, ia tidak dapat menggambarkan kesukaran pelajar semasa melakukan ujian. Selain itu, Bailey (1998) juga menyebut bahawa tiada maklum balas yang disediakan kepada pelajar dalam pentaksiran ini. Law & Eckes (1995) menunjukkan kebanyakan ujian yang seragam mentaksir hanya kemahiran berfikir pelajar yang rendah.

Manakala Dikli (2003) menyatakan bahawa pentaksiran tradisional sering memberi tumpuan kepada kemampuan hafalan dan melihat kembali pembelajaran, yang mana tahap kemahiran kognitif yang lebih rendah. Sistem pentaksiran pada masa kini berpandukan kurikulum yang hanya mencakupi kebolehan pelajar mengingat dan kemahiran menghafal semata-mata. Kemahiran yang lain tidak diaplikasi, dianalisis, disintesis dan dinilai dalam sesuatu penilaian (Begum & Farooqui, 2008). Pentaksiran alternatif mula digunakan sebagai satu kaedah yang baru dalam sistem pendidikan disebabkan oleh kesedaran yang semakin meningkat yang mana sebelum ini dipengaruhi oleh ujian berdasarkan kurikulum dan pengajaran sahaja (Dikli, 2003). Selain itu, alat pentaksiran tradisional hanya memerlukan pelajar untuk memaparkan pengetahuan mereka dengan cara yang telah ditentukan terlebih dahulu.


Pentaksiran Alternatif

Pentaksiran alternatif secara umumnya ditakrifkan sebagai mana-mana kaedah penilaian yang merupakan alternatif selain pentaksiran tradisional seperti ujian pensil-kertas. Pentaksiran alternatif menghendaki pelajar untuk menunjukkan kemahiran dan pengetahuan yang mana tidak dapat dinilai dengan menggunakan ujian yang ditetapkan masa seperti pentaksiran sumatif. Ia bertujuan untuk mendedahkan kemahiran pemikiran kritikal dan mentaksir pelajar dengan meminta pelajar untuk menyelesaikan tugasan terbuka yang mengambil tempoh lebih daripada satu kelas untuk melengkapkannya (Companies, 2011).

Menurut (Logsdon, 2011), pentaksiran alternatif mempunyai bentuk pentaksiran yang berbeza di mana dapat menampung ketidakupayaan pelajar. Satu pentaksiran yang silih berganti boleh mengurangkan kesan ketidakupayaan pelajar kepada keupayaan untuk menunjukkan apa yang pelajar fahami. Pentaksiran alternatif juga merupakan penggunaan pendekatan bukan tradisional dalam menilai prestasi pelajar (Aurbach & Associates, 2011). Jesteru itu, pentaksiran alternatif adalah pentaksiran di mana pelajar menghasilkan atau mencipta jawapan sendiri terhadap sesuatu persoalan, boleh berbentuk esei atau lukisan, yang bertentangan dengan kaedah memilih daripada jawapan yang telah diberikan, seperti yang lazimnya dilihat pada ujian aneka pilihan.

Pentaksiran alternatif termasuk menjawab soalan pendek, esei, penilaian prestasi, persembahan lisan, pameran, dan juga portfolio. Pentaksiran alternatif juga menyediakan peluang kepada pelajar untuk mengekspresikan diri secara kreatif melalui pilihan pelajar sendiri. Selain itu, pentaksiran alternatif merupakan semua aktiviti pentaksiran yang dijalankan selain daripada aktiviti pentaksiran tradisional yang menekankan konsep pensil-kertas untuk menguji dan mngukur. Maka, pentaksiran alternatif boleh dirujuk sebagai pentaksiran formatif atau pentaksiran untuk pembelajaran.

Pelaksanaan pentaksiran alternatif diperingkat sekolah dan dalam bilik darjah agak sukar untuk dilaksanakan. Berdasarkan kajian yang dilaksanakan oleh (Rahman & Ali, 2008) mendapati terdapat beberapa faktor permasalahan yang menghalang dan mengehadkan pelaksanaan pentaksiran kerja kursus/protfolio yang mana sebahagian daripada pentaksiran alternatif atau dikenali sebagai pentaksiran berasaskan sekolah (PBS). Faktor guru adalah yang paling penting dalam melaksanakan pentaksiran alternatif. Dapatan kajian tersebut menunjukkan guru-guru mempunyai tahap pengetahuan dan kemahiran yang sederhana tinggi dalam melaksanakan Pentaksiran Kerja Kursus. Masalah yang dihadapi oleh guru-guru ialah tidak mempunyai masa mencukupi untuk menyelia dan membimbing pelajar serta mengganggap proses melaksanakan pentaksiran mengganggu tugas-tugas yang lain. Begitu juga kajian (Noor & Sahip, 2010) yang menunjukkan bahawa jadual waktu guru-guru yang agak padat menyukarkan guru untuk melaksanakan pentaksiran tersebut.

Kajian oleh (Begum & Farooqui, 2008) pula menyatakan bahawa guru sangat optimis mengenai perubahan sistem pentaksiran. Hasil kajian menunjukkan bahawawalaupun kerajaan telah melaksanakan sistem pentaksiran baru, kebanyakan guru-guru tidak mendapat latihan yang secukupnya untuk melaksanakan projek tersebut. Guru yang tidak terlatih akan mempunyai kefahaman yang sedikit seterusnya akan menyebabkan markah tidak dapat diagihkan dengan berkesan akibat ketidakmampuan guru tersebut. Jika pentaksiran alternatif ini dilaksanakan tanpa menyediakan latihan kepada guru-guru yang mencukupi, jurang yang besar akan wujud antara strategi yang digubal oleh kerajaan dengan realiti sebenar dalam bilik darjah. Dalam artikel (Seng, 2009) yang bertajuk School-based Assessment: The Concept of School based Assessment menyatakan bahawa terdapat perbezaan persepsi mengenai makna pentaksiran berasaskan sekolah di antara ibu bapa, stakeholder, pelajar-pelajar mahu pun guru-guru. Hal ini adalah kerana masyarakat di Malaysia sudah lazim dengan pentaksiran tradisional sejak zaman merdeka lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan