Tajuk Artikel: Kesan Efikasi Kendiri Guru Sejarah Terhadap Amalan Pengajaran Berbantukan Teknologi Maklumat dan Komunikasi(ICT)
Artikel ini menerangkan tentang kajian untuk mengenal pasti tahap efikasi kendiri guru dan tahap amalan pengajaran sejarah berbantukan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terhadap guru sejarah di sekolah menengah harian di negeri Perlis. Selain itu, kajian ini juga tertumpu kepada perhubungan efikasi kendiri guru dengan amalan pengajaran sejarah berbantukan ICT serta kesannya terhadap efikasi kendiri guru itu sendiri terhadap amalan ini. Dalam kajian ini, efikasi guru merujuk kepada kepercayaan guru akan keupayaan diri untuk menyusun atur dan melakukan satu siri tindakan yang diperlukan untuk menyempurnakan satu tugasan pengajaran dalam konteks yang spesifik (Tschannen-Moran, Hoy dan Hoy, 1998). Manakala ICT pula didefinasikan menurut Ahmad Fuad (2003), dalam konteks pendidikan,teknologi maklumat merupakan satu rangkaian elektronik untuk mencari, mengumpul, menyimpan, memproses, menyalur dan menyampai maklumat secara efektif, pantas dan banyak untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran.
Kajian ini merupakan kajian deskriptif yang melibatkan responden seramai 95 orang guru Sejarah yang dipilih secara rawak. Data kajian pula diperoleh dengan menggunakan soal selidik yang dihantar oleh penyelidik sendiri kepada responden kajian. Instrumen yang digunakan untuk mengukur amalan guru Sejarah terhadap penggunaan ICT dalam kajian ini telah diambil daripada Norizan Ahmad (2003). Item-item tersebut terlebih dahulu telah diklasifikasikan kepada dua dimensi iaitu amalan penggunaan ICT untuk mencari maklumat sejarah (EPIK), dan amalan penggunaan ICT untuk menyampaikan pengajaran sejarah (EPICT).
Kebolehpercayaan soal selidik ini adalah tinggi dengan nilai Cronbach Alpa yang diperolehi ialah sebanyak 0.82. Manakala efikasi guru sejarah terhadap pengajaran sejarah berbantukan ICT pula telah diukur dengan menggunakan dua puluh tiga item yang dibentuk oleh Mohd. Zaaba Ismail dan Zurida Ismail (2002). Dua dimensi efikasi guru yang diukur dalam kajian ini ialah berkaitan efikasi guru sejarah terhadap penggunaan ICT dalam pengajaran sejarah (AICTMM), dan efikasi guru sejarah terhadap pemilihan isi kandungan semasa melaksanakan pengajaran sejarah berbantukan ICT (AICTUP). Responden dikehendaki menjawab dengan instrumen kajian tersebut berpandukan skala `Likert` yang memberi lima gerakbalas mengikut darjah persetujuan. Nilai kebolehpercayaan ‘Cronbach Alpha’ yang diperoleh bagi item-item kajian ini daripada kajian rintis adalah sangat menyakinkan iaitu sebanyak 0.91.
Semua data yang diperoleh daripada responden telah dianalisis dengan menggunakan min, sisihan piawai dan korelasi Pearson antara variabel bebas dan bersandar. Manakala kesan efikasi kendiri guru Sejarah terhadap amalan pengajaran berbantukan ICT pula telah dianalisis dengan menggunakan analisis regresi berganda. Manakala interpretasi tahap amalan dan efikasi kendiri guru pula dilakukan berdasarkan saranan Mohd. Zaaba Ismail dan Zurida Ismail iaitu jika skor min di antara “1.0 hingga 2.9” menunjukkan tahap amalan rendah; skor min antara “3.0 hingga 3.9” menunjukkan tahap amalan sederhana; dan jika skor min di antara “4.0 hingga 5.0” menunjukkan tahap amalan tinggi. Dapatan kajian ini menunjukan bahawa guru sejarah mempunyai tahap efikasi kendiri yang sederhana terhadap ICT dan tahap amalan pengajaran berbantukan ICT adalah rendah. Ini kerana terdapatnya hubugan yang sederhana kukuh di antara efikasi kendiri guru terhadap ICT terhadap amalan pengajaran berbantukan ICT.
Secara kesimpulannya, efikasi kendiri guru sejarah mempengaruhi amalan peggunaan ICT dalam melaksanakan pengajaran sejarah. Guru sejarah seharusnya mengintergrasikan ICT dalam pengajaran sejarah supaya pengajaran dan pembelajaran sejarah menjadi lebih menarik dan berkesan. Guru-guru sejarah perlu menyesuaikan kaedah pengajaran mengikut perkembangan semasa agar mereka tidak menjadi guru yang terpinggir dan kaku. Guru sejarah seharusnya mempunyai keyakinan untuk mengintergrasikan ICT dalam pengajaran bagi meningkatkan “outcomes” dan keberkesanan pengajaran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan