Tajuk Artikel: Penggunaan ICT Dalam Proses Pengajaran Dan Pembelajaran Di Kalangan Pendidik Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia Skudai, Johor.
Artikel ini menerangkan tentang satu kajian yang bertujuan untuk mengenalpasti sejauh mana penggunaan ICT membantu para pendidik Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta mengenalpasti kemudahan ICT yang digunakan dan kekangan yang dihadapi oleh mereka. Di dalam kajian ini, terdapat beberapa objektif yang ingin dicapai iaitu: i) Mengenalpasti sumber ICT yang selalu digunakan di kalangan pendidik Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor dalam pengajaran dan pembelajaran, ii) Mengenalpasti sejauhmana penerimaan pendidik terhadap aplikasi ICT dalam pengajaran dan pembelajaran, iii) Mengenalpasti kekangan terhadap keperluan serta penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran, iv) Mengenalpasti samada terdapat hubungan antara faktor demografi dengan penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran, v) Mengenalpasti kekangan terhadap keperluan serta penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran, dan vi) Mengenalpasti samada terdapat hubungan antara faktor demografi dengan penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Kajian ini adalah berbentuk kuantitatif tinjauan, maka borang soal selidik telah digunakan sebagai instrumen kajian utama kerana ianya adalah lebih mudah dan efektif (Mohamad Najib, 1999). Soal selidik yang digunakan dalam kajian ini terbahagi kepada 4 bahagian iaitu bahagian A, B, C dan D. Bahagian A meliputi maklumat umum latar belakang responden dengan tujuan bagi mendapatkan maklumat tentang latar belakang responden dan perkaitannya dengan penggunaan ICT. Bahagian ini memerlukan pendidik menandakan ( √ ) pada kotak jawapan pilihan serta mengisi ruang kosong yang disediakan. Item-item di dalam soal selidik bahagian B, C dan D menggunakan skala Likert 5 poin. Bagi bahagian B, C dan D, pendidik juga dikehendaki memberi sebab dalam ruang soalan terbuka bagi menjelaskan lagi pilihan jawapan mereka sebagai sokongan dan rujukan tambahan bagi analisis data dalam kajian pengkaji.
Seterusnya kekerapan setiap jawapan pendidik akan ditentukan dan penggunaan ICT di kalangan pendidik Fakulti Pendidikan serta kekangan yang dihadapi dalam proses P&P akan dikenalpasti. Pendidik daripada Fakulti Pendidikan sahaja yang dipilih sebagai populasi kajian ini. Jumlah pendidik Fakulti Pendidikan ialah seramai 106 orang. Menurut Mohamad Najib (1999), ada yang menyarankan 30 peratus daripada populasi dan ada yang berkata jumlah 30 peratus sampel sudah mencukupi. Saiz sampel adalah penting kerana ia melambangkan kekuatan keputusan kajian nanti. Lebih besar sampel, lebih mantap kajian kerana dapat mengurang kesilapan keputusan. Membesarkan saiz sampel boleh meninggikan kesahan dan kebolehpercayaan skor (Mohamad Najib (1999). Oleh itu, pengkaji telah memilih seramai 70 orang pendidik Fakulti Pendidikan sebagai sampel kajian.
Selepas pengesahan instrumen, kajian rintis dijalankan ke atas 10 orang pendidik Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia dengan tujuan menentukan nilai kebolehpercayaan bagi instrumen kajian ini. Ini kerana instrumen dalam kajian ini merupakan gabungan item yang dibangunkan oleh pengkaji kain, oleh itu kajian rintis perlu dijalankan untuk mendapatkan nilai pekali kebolehpercayaan untuk instrumen baru ini. Berdasarkan dapatan kajian rintis, beberapa pengubahsuaian telah dijalankan ke atas instrumen hasil perbincangan dengan penyelia. Data untuk bahagian A, B, C dan D dari soal selidik dianalisis dengan menggunakan perisian Statistical Package For Social Science (SPSS) Version 11.0 for Windows. Berdasarkan kajian rintis yang telah dijalankan, nilai kebolehpercayaan Cronbach alfa (α) yang diperolehi untuk bahagian B ialah 0.8339, bahagian C ialah 0.8661, manakala bahagian D pula ialah 0.8087. Nilai keseluruhan ialah 0.9233. Statistik deskriptif, min dan kolerasi person telah digunakan untuk mendapatkan jawapan persoalan dalam kajian ini.
Hasil kajian ini menunjukkan bahawa kemudahan ICT yang digunakan oleh para pendidik adalah tinggi tetapi kekerapan pendidik menggunakan kemudahan serta peralatan ICT yang telah disediakan dalam proses P&P adalah sederhana manakala kurangnya kemahiran pendidik tentang peralatan ICT dan masalah teknikal yang dialami seperti gangguan sambungan internet merupakan kekangan utama terhadap keperluan serta penggunaan ICT dalam proses P&P.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan