Tajuk Artikel: Faktor Penggunaan Komputer Dan Kaitannya Dengan Kesediaan Mengikuti Pembelajaran Dalam Talian Di Kalangan Pelajar Sarjana.
Artikel ini menerangkan kajian tentang faktor-faktor penggunaan komputer dari segi sikap terhadap komputer, kecelikan dan kemudahan komputer terhadap pelajar Sarjana Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia. Kajian ini menerangkan perkara yang menjadi faktor utama penggunaan komputer dalam kalangan responden yang terpilih. Selain itu, kesediaan pelajar untuk mengikuti pembelajaran dalam talian turut dikaji. Begitu juga dengan kewujudan kolerasi antara faktor-faktor penggunaan komputer dengan kesediaan pelajar mengikuti pembelajaran dalam talian turut dikaji dalam kajian ini. Terdapat beberapa objektif yang ingin dicapai dalam kajian ini, iaitu i) meninjau sikap dan kecelikan penggunaan komputer di kalangan pelajar sarjana Pendidikan, ii) meninjau penggunaan komputer di tempat pengajian pelajar sarjana pendidikan, iii) mengenal pasti faktor penggunaan komputer yang utama di kalangan pelajar sarjana, iv) mengenal pasti kesediaan pelajar sarjana untuk mengikuti PDT, dan mengenal pasti hubungan di antara faktor-faktor penggunaan komputer dengan kesediaan pelajar sarjana untuk mengikuti PDT.
Rekabentuk kajian ini ialah kuantitatif jenis tinjauan. Instrumen kajian yang digunakan adalah borang soal selidik dalam dua bahasa iaitu bahasa melayu dan bahasa inggeris. Soal selidik yang telah digunakan menggunakan skala pengukuran ordinal (bagi Bahagian C, D, E, dan F. Skala Likert 4 peringkat yang digunakan dalam intstrumen kajian ini). Populasi kajian ini ialah semua pelajar Sarjana Pendidikan yang mengikuti jenis pengajian kerja kursus serta kombinasi kerja kursus dan penyelidikan (N = 388) di Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor. Berdasarkan Jadual Penentuan Saiz Sampel yang disediakan oleh Krejcie dan Morgan (1970), bilangan sampel minimum yang diperlukan untuk populasi N = 388 kajian ini ialah sekurang-kurangnya 196 orang. Oleh yang demikian, seramai 197 orang responden telah dipilih secara rawak mudah untuk terlibat di dalam kajian ini.
Memandangkan soal selidik ini dibentuk daripada gabungan beberapa instrument yang lain, maka kajian rintis telah dijalankan untuk mendapatkan nilai pekali kebolehpercayaannya iaitu pekali Alpha Cronbach. Kajian rintis ini telah dijalankan ke atas 20 orang pelajar Sarjana Pendidikan dan pekali kebolehpercayaan soal selidik yang telah digunakan ialah 0.90. Data-data yang diperolehi dalam kajian ini dianalisis mengunakan perisian Statistical Package for Social Sciences (SPSS) versi 10.0. Analisis deskriptif dan ujian korelasi Pearson dua arah telah digunakan untuk menjawab persoalan kajian ini.
Dapatan kajian menunjukkan pelajar bersikap positif, mempunyai kecelikan komputer yang sederhana, dan berpendapat bahawa kemudahan komputer di tempat pengajian adalah tidak mencukupi. Daripada tiga faktor yang dikaji, sikap merupakan faktor penggunaan komputer yang utama di kalangan pelajar Sarjana Pendidikan. Pelajar juga didapati belum bersedia dengan secukupnya untuk mengikuti pembelajaran dalam talian. Walau bagaimanapun, terdapat korelasi yang sederhana dan rendah antara sikap dan kecelikan penggunaan komputer dengan kesediaan pelajar untuk mengikuti pembelajaran dalam talian. Kemudahan komputer di tempat pengajian pula mempunyai korelasi yang sederhana dengan kesediaan pelajar untuk mengikuti pembelajaran dalam talian.
Secara keseluruhannya, kajian ini telah mencapai objektif dan menjawab kesemua persoalan kajian. Analisis deskriptif terhadap sikap, kecelikan, dan kemudahan komputer menunjukkan bahawa pelajar-pelajar sarjana bersikap positif terhadap penggunaan komputer, tahap kecelikan komputer yang sederhana dan beranggapan bahawa kemudahan di tempat pengajian mereka adalah tidak mencukupi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan