Khamis, 24 Disember 2015

Pengajaran Menggunakan Pendekatan Deduktif

Pendekatan deduktif adalah jenis pengajaran yang bermula daripada umum kepada spesifik dan pendekatan ini merujuk kepada satu pembelajaran, di mana pelajar bermula dengan hukum yang umum dan digunakan dalam kes-kes tertentu (Brian Seaton, 1982).
  
Prinsip-prinsip pengajaran secara deduktif:
  • Pada peringkat permulaan, sesuatu masalah atau hipotesis diperkenalkan dan ditakrifkan. Guru dan pelajar mengemukakan cara penyelesaian masalah. Dalam konteks ini, generalisasi  yang dikemukakan harus dinyatakan secara eksplisit. 
  • Penggunaan pendekatan deduktif harus mengikut langkah demi langkah.
  • Beberapa contoh digunakan untuk menerangkan generalisasi atau peraturan.  Berdasarkan contoh yang digunakan, pelajar meniru atau menghafal contoh dan membentuk contoh lain.
  • Pelbagai aktiviti dijalankan untuk meningkatkan pemahaman pelajar terhadap isi pelajaran yang disampaikan. Latihan menulis untuk mengesan kebolehan pelajar menguasai kemahiran turut diberikan.
  • Kesimpulan dibuat berdasarkan bukti yang ada setelah memahami konsep serta contoh yang diberikan.
  • Pemahaman generalisasi atau peraturan dinilai dengan menggunakannya dalam situasi-situasi baru yang mempunyai masalah hampir serupa. 


Secara ringkas, pendekatan deduktif digunakan jika keutamaan pelajaran tertumpu kepada pemahaman konsep sahaja, bukannya proses memperoleh konsep.  Dengan menggunakan contoh “magnet” seperti dalam pendekatan induktif, terlebih dahulu guru akan memberitahu bahawa “ Magnet akan menarik objek-objek tertentu, iaitu logam”.  Guru akan menerangkan konsep “ penarikan” dan mengemukakan soalan “Adakah magnet akan menarik pensel?”. Perbincangan dilaksanakan dengan melakukan eksperimen di mana guru memberi pelajar sebatang magnet dan meminta mereka menggunakan magnet tersebut untuk menguji sama ada objek di dalam bilik darjah melekat padanya atau tidak.  Pada akhir perbincangan, guru bersama pelajar merumuskan bahawa magnet menarik objek logam sahaja berdasarkan eksperimen dan contoh-contoh lain di dalam bilik darjah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan